31 MP UMNO & BN Kekal Bersama PN, Sokong Tentukan Keabsahan Kerajaan Di Parlimen Nanti- Ismail Sabri
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa seramai 31 ahli parlimen UMNO dan BN akan tetap bersama dengan kerajaan dan menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menyokong tentukan keabsahan di Parlimen September nanti.
Dalam sidang media yang diadakan sebentar tadi, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan pada hari ini akan meneruskan pentadbiran seperti biasa.
“Pendirian kami adalah ahli-ahli Parlimen menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Yang di-Pertuan Agong iaitu memperkenankan supaya kerajaan hari ini meneruskan pentadbirannya dan akan menentukan keabsahan kerajaan hari ini di Parlimen.
“KDYMM juga bersetuju dan memperkenankan satu usul undi percaya dalam parlimen dan ahli parlimen boleh menentukan pendirian sama ada menyokong atau pun tidak menyokong usul tersebut.
“Jadi jelas bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Yang di-Pertuan Agong mahu supaya sidang parlimen diadakan dan penentuan untuk sama ada kerajaan hari ini masih terus boleh berfungsi selepas daripada bulan September ditentukan oleh ahli Parlimen sendiri,” ujarnya.
Menurutnya lagi, pihak istana tidak lagi menerima akuan sumpah atau surat-surat sokongan.
“Jadi jelas bahawa walaupun ada kenyataan daripada Presiden UMNO yang menyatakan beliau akan menghantar nama lagi, saya rasa ini adalah bertentangan dengan perkenan dan juga keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Jadi kami ahli-ahli parlimen yang setia kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Baginda Yang di-Pertuan Agong, akan patuh kepada titahnya iaitu apa-apa perkara yang nak diselesaikan tentang perkara yang berkaitan dengan kerajaan perlu dilakukan di Parlimen.
“Dan kami berpandangan perkara-perkara lain adalah perkara yang diluar daripada perkenan Yang di-Pertuan Agong sama ada menghantar surat akuan termasuklah untuk melakukan tindakan yang boleh meruntuhkan kerajaan sebelum Parlimen diadakan,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau menyatakan bahawa tumpuan kini terarah kepada membantu kerajaan menangani isu COVID-19 dan masalah rakyat yang terkesan dalam pandemik COVID-19.
“Sebagai wakil rakyat yang bertanggungjawab terutamanya di kalangan menteri yang kini diberikan tugas di barisan hadapan untuk menyelesaikan isu yang berkaitan dengan pandemik COVID-19 dan juga penyelasaian isu yang berkaitan dengan ekonomi rakyat ini, kita merasakan bahawa kita tidak bertanggungjawab kepada rakyat jikalau kita meninggalkan kerajaan ini secara tergesa-gesa seperti yang diarahkan oleh parti,” ujarnya.
Jelas Naib Presiden UMNO itu, objektif parti dan wakil rakyat adalah berkhidmat pada rakyat, justeru tanggungjawab pada rakyat harus diutamakan.
“Kami merupakan pemimpin setia kepada parti bagaimanapun tindakan kita jangan bebankan rakyat,” tambahnya.
Sumber: Bernama TV